Ciri-ciri dan tehnik penyebaran ajaran sesat

Ajaran sesat bukanlah perkara baru yang berlaku di Malaysia, sebaliknya telah mula menular sejak di awal kedatangan agama Islam di rantau ini. Isu ajaran sesat mula mendapat perhatian dengan munculnya ajaran Ayah Pin di Terengganu yang mengaku dirinya memiliki kuasa seperti Tuhan, jelmaan semua Nabi dan menjadi dewa bagi semua agama serta memiliki ramai pengikut. Malah, ada pengikut ajaran sesat ini terdiri di kalangan profesional yang dianggap bijak untuk menilai kebaikan dan keburukan sesuatu perkara. Ekoran pengetahuan agama yang cetek, ramai orang mudah terpengaruh dengan ajaran sesat ini. Namun, pada hakikatnya individu yang menjadi dalang di sebalik ajaran sesat ini mempunyai motif tersendiri untuk kepentingan dirinya semata-mata.

Ekoran daripada amalan ajaran sesat yang semakin berleluasa, beberapa peristiwa telah berlaku yang menggugat ketenteraman dan keselamatan awam seperti :

• Seorang ahli kumpulan ajaran sesat Empat Sahabat di Kampung Kedap, Rantau Panjang, Kelantan telah ditembak mati dalam satu pertempuran dengan pasukan keselamatan pada 19 Oktober 1974.
• Tajul Ariffin yang mengaku dirinya Imam Mahdi telah mencederakan imam masjid Rapat Setia, Ipoh, Perak iaitu Haji Damanhuri bin Haji Abd. Wahab yang berusia 68 tahun pada 7 Julai 1979.
• Pada 16 Oktober 1980, lapan orang ahli kumpulan ajaran sesat yang dipimpin oleh Ahmad Nasir bin Ismail telah terbunuh dalam peristiwa serangan di Balai Polis Batu Pahat, Johor. Beberapa anggota polis dan orang awam turut cedera dalam peristiwa tersebut.
• Dua orang lelaki Indonesia yang menyebarkan ajaran sesat di Inanam, Kota Kinabalu, Sabah cedera ditembak selepas mengamuk di Kompleks Sinsuran, Kota Kinabalu pada 1 Februari 1996.
• Pada 18 Mac 1996, pengikut ajaran sesat Tabarani telah bertindak keterlaluan dengan memukul Ketua Kampung Pandan Satu, Kuantan, Pahang kerana didakwa menghalang kegiatan mereka.

Ciri-ciri ajaran sesat
• Mengaku diri atau gurunya sebagai Nabi atau wakilnya dan mendakwa menerima wahyu.
• Mengaku diri atau gurunya sebagai Imam Mahdi atau mempercayai bahawa orang-orang tertentu tidak mati dan akan muncul sebagai manusia yang istimewa seperti Imam Mahdi (ajaran sesat Qadyani, Bahai, Empat Sahabat, Nasir dan Mufarridiah).
• Mempercayai bahawa roh orang yang mati menjelma semula ke dalam jasad orang yang masih hidup.
• Mendakwa pengikut-pengikut ajaran/tarikatnya sahaja yang dijamin masuk syurga.
• Mendakwa gurunya memegang kunci pintu syurga.
• Mempercayai bahawa gurunya boleh menebus dosa dengan wang.
• Mendakwa bahawa semua agama adalah sama.
• Mempercayai bahawa orang yang telah mati boleh memberi pertolongan apabila namanya diseru.
• Memohon kepada objek tertentu seperti batu, cincin dan sebagainya untuk sampai kepada Tuhan.
• Melakukan penyerahan rohani dan jasmani kepada guru melalui nikah batin dengan tujuan untuk mendapat anak yang soleh atau anak hakikat.
• Mengaku Allah menjelma dalam diri.
• Mendakwa atau mengaku dirinya sebagai wakil Nabi yang boleh memberi syafaat kepada muridnya.
• Mendakwa ajaran atau tarikatnya yang diamalkan diperolehi terus daripada Rasulullah s.a.w. secara yaqazah (jaga).
• Mengaku dan mempercayai bahawa seseorang itu boleh berhubung dengan Allah melalui Nur Muhammad yang berada di dalam dirinya dan mendakwa akan masuk ke syurga.
• Memansuhkan syariat Islam seperti sembahyang, puasa, haji dan membuat syariat baru atau menganggap setelah sampai kepada hakikat maka tidak perlu lagi syariat.
• Meninggalkan sembahyang Jumaat kerana mengamalkan suluk.
• Mendakwa bahawa ibadat haji tidak semestinya ditunaikan di Mekah tetapi boleh ditunaikan di tempat-tempat lain.
• Mengubah dengan sengaja ayat al-Quran dan maksudnya.
• Mengakui dan mempercayai bahawa tangkal boleh memberi kesan.
• Mendakwa bahawa setiap yang zahir ada batinnya dan setiap ayat yang diturunkan ada takwilnya seperti puasa, zakat, haji, nikah dan sebagainya. Mereka mendakwa orang yang mengamalkan syariah hanya kulit dan tidak sampai kepada matlamat sebenar.

Teknik penyebar ajaran sesat memikat pengikut

• Perhati
Penyebar mesti pandai dan memahami hati serta pendirian orang yang dipikat. Mangsa selalunya seorang yang warak dan kuat mengerjakan amal ibadat. Penyebar ajaran sesat akan berpura-pura lebih kuat beragama dan beribadat daripada mangsa.

• Beramah mesra
Penyebar cuba mencari jalan untuk mendampingi dan mendekati orang yang hendak dipengaruhinya. Misalnya, penyebar akan meminta bermalam di rumah orang berkenaan dengan tujuan mengadakan majlis membaca al-Quran dan dalam syarahannya akan diselitkan keburukan ulama lain.

• Mencetus keraguan
Jika seseorang itu mengerjakan sembahyang fardu dan sunat dengan tekun dan tidak berhenti-henti, mereka akan menimbulkan pertanyaan apakah hikmah dan tujuan bersembahyang.

• Gantung tidak bertali
Setelah tujuan penyebar berjaya menimbulkan keraguan dalam pemikiran seseorang dan orang yang dipikat benar-benar berminat untuk mengetahui pelbagai rahsia seperti rahsia di sebalik huruf awal surah, sembahyang dan puasa, penyebar seringkali bersikap ‘pura-pura jual mahal’. Jika didesak penyebar akan meminta mangsa bersabar, banyak mengerjakan sembahyang dan amal ibadat.

• Ikat
Selepas diberitahu rahsia, mangsa diminta bersumpah tidak membocorkan rahsia. Mangsa ‘diikat lidah’ agar tidak membocorkan ilmu atau rahsia buat selama-lamanya.

• Kesamaran
Penyebar ajaran sesat selalunya mengeluarkan kata-kata yang ‘berat dan kabur’. Contohnya, “manusia itu ada bermacam pendapat, bertentangan antara satu sama lain. Masing-masing mengatakan pihaknya betul. Tetapi kita dengan mengenal diri, maka mengenal Allah dan Allah tidak menyembunyikan kebenaran, manakala orang lain berada dalam keadaan meraba-raba”.

Refleksi : pensahab